Sunday, 26 June 2011

RAHSIA SOLAT




1.       Niat solat
·         Fadhilatnya sebagai memelihara taubat kita di dunia dan akhirat

2.       Berdiri betul
·         Fadhilatnya sebagai meluaskan tempat kita di dalam kubur

3.       Takbir-ratul ihram
·         Fadhilatnya sebagai pelita yang menerangi kita dalam kubur kelak

4.       Al-Fatihah
·         Fadhilatnya sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur

5.       Ruku’
·         Fadhilatnya sebagai tikar kita di dalam kubur

6.       I’tidal
·         Fadhilatnya, akan member minuman air dari telaga Al-Kauthar ketika dalam kubur

7.       Sujud
·         Fadhilatnya akan memagar kita ketika menyeberangi titiAn Sirotol mustaqim.

8.       Duduk antara dua sujud
·         Fadhilatnya akan menaung panji-panji nabi kita di dalam kubur

9.       Duduk antara dua sujud (akhir)
·         Fadhilatnya akan menjadi kenderaan kita di padang mahsyar

10.   Tahhiyat akhir
·         Fadhilatnya sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh mungkar dan nangkir di dalam kubur

11.   Selawat ke atas nabi
·         Fadhilatnya sebagai pendinding api neraka di dalam kubur

12.   Salam
·         Fadhilatnya sebagai memelihara kita dalam kubur

13.   Tertib
·         Fadhilatnya akan pertemuan kita dengan Allah SWT

Saturday, 18 June 2011

MALAIKAT MAUT : TETAMU YANG KERAP BERKUNJUNG


Betapa kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali, andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail. Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikir dan direnungkan dalam hidupnya.

Walaupun dia sebenarnya adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa. Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa." 

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut. Meskipun mata manusia hanya mampu melihat alam benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu. Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi'e biasa sebagai pendapat golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja. Dia mengambil logik bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya. 

Selain itu mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta'un dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang disebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, "Sebab apa si pulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah? ". Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan mala petaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut. Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak tertangguh walau sesaat. Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya.

Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk itu dia menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi seorang yang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna. Di kalangan orang solehin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan orang-orang soleh itu jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak beri amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan menjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janjiNya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah, iaitu para rasul a.s.w., para nabi-nabi, para wali-wali dan orang-orang solehin. Selain itu malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang akan menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak keluarga dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai sebab-sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam. Sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlaku kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana menghidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu. Ketika itu Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat mala petaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba. Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang telah diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang dinyatakan pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar. 

Firman Allah Taala yang bermaksud: 

"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya. "

(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Wallahualam...

Friday, 10 June 2011

EMPAT SIFAT ORANG MUNAFIK


“Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang.” (Riwayat oleh al’Syaikhan dari Ibn ‘Amr)

Huraian :

Sifat munafik ialah sifat-sifat hipokrit (seperti sejenis binatang sesumpah) atau sifat talam dua muka atau musang berbulu ayam atau berpura-pura jujur. Seorang yang munafik ialah seorang yang berpura-pura baik dan jujur. Seorang yang bersifat telunjuk lurus kelingking berkait atau pepet di luar runcing di dalam. Ia bercakap manis tapi bohong. Ia pandai berbahasa sehingga orang boleh mempercayai percakapannya, ia pandai berjanji tapi mungkir, ia bijak mematerikan perjanjian tetapi ia cabuli dan apabila ia berbalah ia sentiasa ingin menang walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah asalkan orang boleh percaya cakap dia, dia juga pandai bodek atau mengampu seseorang. Seorang yang munafik ialah seorang manusia yang ada otak tapi tidak berpendirian, mudah menggadai pegangan hidup; dia ialah orang yang suka berbalah atau bertengkar. Dia boleh berubah-ubah sikap apabila diperlukan oleh kepentingannya.
Oleh kerana Islam memperjuangkan kejujuran dan amanah umum yang dilandaskan di atas kesedaran dan keimanan bahawa Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala apa yang terpendam di dalam lubuk hati, maka Islam menganggap sifat hipokrit itu sebagai merbahaya yang menghancurkan keutuhan dan keselamatan iman seseorang, juga sebagai dosa yang besar.

Hadis ini menyebut empat ragam sifat munafik:

1. Khianat amanah iaitu mencabul dan mengkhianati amanah-amanah yang wajib dipelihara dan meremeh-temehkan amanah yang diberikan padanya atau tidak menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya yang diserahkan padanya, kerja dengan sambil lewa dan ia gunakan amanah yang diberikan kepadanya untuk mendapatkan kepentingan diri dan keluarganya.

2. Bercakap bohong. Membuat penjelasan, kenyataan dan penerangan yang dusta atau seakan-akan dusta samada dengan lisan atau tulisan, memutar belit dan memesongkan keterangan yang sebenar, mengubah dan menokok tambah kenyataan untuk disesuaikan dengan seleranya, membuat kempen-kempen atau promosi-promosi dusta dan propaganda liar dan segala bentuk penyelewengan kata-kata dan bicara termasuk membesarkan yang kecil dan memperkecilkan yang besar.

3. Mencabul janji-janji yang diikrarkan dan mencabul perjanjian yang dipersetujui bersama.

4. Ingin menang dalam pertengkaran walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah atau terpaksa membawa saksi yang palsu bagi menguatkan hujahnya.

Semua sifat-sifat munafik yang tersebut itu boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada ketenteraman masyarakat manusia, malah boleh menimbulkan huru-hara dan perpecahan dan boleh menghilangkan rasa kepercayaan terhadap satu sama lain yang merupakan batu asas bagi kerukunan sesebuah masyarakat yang padu dan kukuh, selagi mana ada manusia serupa ini dunia ini tidak akan aman tenteram.

Semoga kita dijauhkan daripada sifat-sifat di atas.. Ameen..

Wallahualam...

Tuesday, 7 June 2011

BARISAN DI AKHIRAT

Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a mengadap Rasulullah SAW dan bertanya kepada baginda : “ Wahai Rasulullah SAW, tolong huraikan  kepadaku mengenai firman Allah SWT”;

Ertinya :

“Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris” (Surah Al-Naba’)

Mendengar pertanyaan ini, baginda menangis dan basah pakaiannya dengan air mata. Lalu menjawab: “Wahai Muaz.. Engkau telah bertanyakan kepada aku perkara yang amat besar, bahawa umatku masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri…” Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :

1.       Barisan pertama
Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: “Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya menyakiti jirannya. Maka demikian balasannya dan tempat kembali mereka adalah  neraka…”

2.       Barisan kedua
Diiringi dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih : “Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”

3.       Barisan ketiga
Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. “Mereka adalah orang yang enggan membayar zakat. Maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka…”

4.       Barisan keempat
Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. “Mereka adalah orang yang berdusta dalam jual beli. Maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka…”

5.       Barisan kelima
Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. "Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula takut kepada Allah SWT. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”

6.       Barisan keenam
Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. “Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

7.       Barisan ketujuh
Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah, dari mulut mereka mengalir nanah dan darah. “Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian kepada kebenaran. Maka inilah balasan mereka dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

8.       Barisan kelapan
Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. “Mereka adalah orang yang berbuat zina. Maka inilah balasan mereka dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

9.       Barisan kesembilan
Diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara di dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. “Mereka adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasan mereka dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

10.   Barisan kesepuluh
Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. “Mereka adalah orang yang menderhaka kepada kedua ibubapa. Maka inilah balasan mereka dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

11.   Barisan kesebelas
Diiringi dari kubur dalam keadaan buta mata kepala, gigi memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka serta keluar berbagai jenis kotoran. “Mereka adalah orang yang minum arak. Maka inilah balasan mereka dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

12.   Barisan kedua belas
Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirotol mustaqim seperti kilat. Maka datang suara dari sisi Allah Ynag Maha Pengasih memaklumkan : “Mereka adalah orang yang banyak berbuat baik, mereka menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat, ketika meninggal dunia mereka sudah bertaubat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih…”

wallahualam....


Sunday, 5 June 2011

PESAN ROH KEPADA MANUSIA


Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau di bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata: “Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah SWT untuk melepaskan pakaianku perlahan-lahan kerana pada saat ini aku baru sahaja beristirehat daripada seretan sakaratul maut.”

Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : “Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangkan airmu dalam keadaan dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari jasad.” Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu : “Demi Allah SWT, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku denga kuat kerana tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh.” Setelah dimandikan dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : “Demi Allah SWT, wahai jelmaanku.. Aku telah meninggalkan isteriku menjadi balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahnya dan aku tidak dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya.”

Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anaknya dan sanak saudara buat kali terakhir. Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga kali dari rumah, roh pula berpesan : “Wahai kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia melalaikan aku. Sesungguhnya aku tinggalkan apa yangtelah aku kumpulkan untuk diwariskan dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku. Ada pun di dunia, Allah SWT menghisab amalanku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku.”

Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dan duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan sama. Lalu ia bertanya kepada mayat itu dan ia menjawab: “Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk dari anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku.”

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jirannya itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapa mereka. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur di mukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

Baginda Rasulullah SAW berkata: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan mereka dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.  Dan akhir sekali datang satu lagi kumpulan menarik roh dari dada sampai ke kerongkong dan itulah dikatakan saat nazak orang itu.”

Sambung Rasulullah SAW lagi : “Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibril a.s akan melebarkan sayap yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di  syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya kepada syurga dan melihat terus pandangan kepada sayap Jibril a.s kalau orang yang nazak itu orang yang munafik, maka Jibril a.s akan melebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukan di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.”

Daripada sebuah hadis bahawa apabila Allah SWT menghendaki seorang mukmin dicabut nyawanya, datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata : “Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang itu melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah SWT.” Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka diapun kembali kepada Allah SWT lalu menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Wahai malaikat, cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan.” Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepada anak-anak yatim dan keluarlah penulisan ilmu. Maka berkatalah tangan itu : “Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh dari arah ini, tanga ini telah mengeluarkan sedekah, tangan mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan.

Oleh itu malaikat maut gagal mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata : “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana orang ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu”. Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin  dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik sahaja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata : “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir”. Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut roh orang mukmin dari arah mata tetapi baru sahaja hendak menghampiri mata maka mata berkata : “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah SWT.” Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Wahai malaikatKu, tulis asma’Ku ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu.” Sebaik sahaja mendapat perintah Allah SWt, maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma’ Allah SWT. Sebaik sahaja melihat Asma’ Allah dan cintanya kepada Allah SWT maka roh tersebut keluar dari arah mulut dengan tenang.

Roh tersebut menuju ke tujuh tempat:

Roh para Nabi dan utusan menuju ke syurga Adnin
      Roh para ulama menuju ke syurga Firdaus.
      Roh mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyiin.
      Roh para syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
      Roh para mukmin yang berdosa akan digantung diudara, tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
      Roh anak-anak orang yang beriman akan berda di gunung dari minyak misik.
     Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin. Mereka akan diseksa beserta jasadnya hingga sampai hari kiamat.

Telah bersabda Rasulullah Saw : “Tiga kelompok manusia akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya.”
             
      Orang-orang yang mati syahid
      Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan
      Orang yang berpuasa di Arafah.

Tahukah anda semenjak Nabi Adam a.s terkeluar daripada syurga akibat tipu daya iblis, beliau telah menangis selama 300 tahun. Nabi Adam a.s tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah SWT.  Beliau sujud di atas gunung selama seratus tahun. Kemudian menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dari air mata Nabi Adam a.s itu Allah tumbuhkan pohon kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata beliau. Burung itu berkata : “Sedap sungguh air ini”. Nabi Adam terdengar kata-kata burung tersebut. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah SWT. Ini membuatkan Nabi Adam a.s semakin hebat menangis. Akhirnya Allah SWT telah menyampaikan wahyu yang bermaksud : “Hai Adam, sesungguhnya aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dan hebat dari air mata taubatmu itu.”

wallahu alam...